Saturday, 3 March 2012

Artikel : Kelengkapan (Advantage) Untuk Memulakan Homestay

Salam sejahtera,

[Artikel ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi penulis dan tidak semestinya ia adalah fakta yang tepat. Berkemungkinan ada lagi pendapat yang lebih bernas selain daripadanya. Harap maklum] 

Dalam artikel sebelum ini, menyebutkan tentang kelengkapan-kelengkapan yang asas atau basic dalam memenuhi ruangan dalaman sesebuah homestay untuk keperluan para tetamu. Keperluan-keperluan tersebut bagi penulis sudah memadai untuk memulakan kediaman rumah inap. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan atau untuk meningkatkan lagi tambah nilai dan kepuasan tetamu, kelengkapan-kelangkapan lain mungkin dapat lagi memberi anda advantage dalam bidang ini. (Sebahagian atau keseluruhan daripada perkara-perkara yang akan disebutkan nanti bukanlah kelengkapan yang ada pada penulis sekarang. Ianya masih dalam perancangan di masa akan datang)

i. Penghawa dingin.
Mungkin boleh dipasang di bilik tidur utama atau di ruang tamu sahaja. Majoriti bakal pelanggan anda akan bertanyakan mengenai item ini. Penulis sendiri masih tidak menyediakan item ini kerana masih mahu mengekalkan harga yang telah ditetapkan sekarang.

ii. Wifi
Pengguna internet semakin bertambah dan dengan pemasangan wifi di kediaman homestay dapat memudahkan lagi urusan tetamu.

iii. Mesin basuh
Tetamu bekeluarga yang mungkin akan tinggal dalam tempoh masa yang agak panjang memerlukan item ini bagi memudahkan urusan pakaian mereka. Jika homestay anda berhampiran dengan pusat dobi, berkemungkinan item ini tidak berapa diperlukan.

iv. Water heater
Alat pemanas air untuk mandi. Pastikan dibeli mengikut piawai keselamatan dan dapatkan model yang dapat menjimatkan penggunaan elektrik.

v. Kelengkapan Barbeque
Kelengkapan ini juga bersesuaian untuk disediakan di rumah inap. Tetamu dapat bersantai (mungkin pada malam terakhir menginap) setelah selesai segala urusan atau jika sekiranya program family gathering diadakan di situ. Bahan-bahan mentah bolehlah disediakan oleh tetamu atau anda sendiri yang mendapatkannya dengan bayaran tambahan ke dalam pakej anda.

vi.Gazebo atau pondok rehat
Sudah menjadi trend kini, banyak rumah telah membina gazebo di perkarangan rumah mereka. Tidak terkecuali pembinaannya dibuat oleh pengusaha homestay kini. Gazebo merupakan satu lagi 'ruang' untuk tetamu bersantai dan berehat. Apatah lagi jika homestay tersebut berhadapan dengan keindahan lanskap, pemandangan gunung atau pantai yang indah. Penulis tidak mungkin dapat membina pondok rehat ini di kediaman homestay sendiri kerana memiliki rumah di lot tengah dan ruang laman yang terhad. Mungkin hanya boleh menyediakan kerusi batu sahaja...
Sekadar Hiasan

vii. Kerusi urut
"Mewah!" itu ungkapan penulis jika dapat menyediakan kelengkapan ini di dalam sesebuah homestay. Tetamu yang menginap dapat merehat dan melegekan tubuh badan setelah keletihan bekerja, memandu atau selesai urusan majlis perkahwinan.

viii. Set karaoke
Mengapa tidak? Tapi pastikan hanya jika ianya tidak mengganggu keharmonian dengan kejiranan sekeliling. Jika anda rasakan ianya sukar untuk dikawal, maka anda bekaraoke sahajalah di kediaman anda sendiri.

Berkemungkinan akan ada lagi kelengkapan-kelengkapan lain selain daripada di atas yang boleh menjadi item didalam sesebuah rumah inap. Kelengkapan-kelengkapan tambahan ini perlu diambil kira dari segi kos untuk menetapkan sesuatu harga yang akan anda offer kepada tetamu nanti. Kos penggunaan elektrik, kos maintenance dan sebagainya perlulah dinilai tetapi haruslah berbaloi kepada tetamu nanti.      

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...